Pada 30hb Mac 2021, dalam perjalanan pulang dari Pusat Bandar Kuala Lumpur, seperti biasa saya akan berhenti seketika di bawah jambatan Bulatan Batu Caves untuk berehat seketika dan meninjau keadaan sekeliling. Manalah tahu jika ada ternampak kucing di situ bolehlah saya buat apa yang patut. Sebelum ini memang saya pernah ternampak 2 ekor kucing di di situ tapi malangnya tidak dapat diselamatkan kerana mereka sukar didekati.
Ketika saya sedang meminum air, tiba-tiba muncul seekor kucing berwarna oren. Kemudian saya segera mendekatinya dan memberinya makan makanan basah yang saya bawa sekali bila setiap kali hendak keluar. Saya dapati ada juga bekas makanan berisi biskut kucing dan air yang diletakkan oleh seseorang yang telah terjumpa kucing oren itu terlebih dahulu.
Lokasi bawah jambatan Batu Caves itu memang boleh merbahayakan nyawa dan keselamatan kucing oren itu. Tidak selamat untuknya jika berada lama di situ. Ia terkepung dengan jalanraya yang sibuk dengan kenderaan. Tambah pula bagimana ia hendak mendapatkan makanan? Ia juga berisiko dilanggar dengan kenderaan sekiranya ia bergerak ke jalanraya.
Kemudian saya telah membuat perkongsian di facebook peribadi saya dan turut berkongsi di group facebook berkaitan kucing yang saya sertai. Manalah tahu terdapat pihak yang boleh membantu kucing oren itu. Saya terpaksa tinggalkan si oren kerana saya tidak membawa sangkar atau guni. Lagi pun tiada keperluan untuk membawa sangkar pada waktu itu.
Saya bercadang hendak datang semula keesokkan harinya (31hb Mac 2021) tapi tidak sempat kerana saya agak sibuk pada hari berkenaan. Walaubagaimanapun saya telah datang semula ke situ pada 1hb. April 2021 (malam). Saya membawa sangkar sekali dan akan membawanya balik ke rumah sekiranya kucing itu masih berada di situ.
Apabila saya sampai di lokasi, saya lihat si oren masih berada di situ. Kemudian saya telah membawanya balik. Mujur pada waktu itu si oren memberi kerjasama jadi mudahlah saya masukkannya ke dalam sangkar.
Bila tiba di rumah, saya terpaksa kurungnya ke dalam sangkar buat sementara waktu. Memandangkan si oren ini kucing jantan yang belum dimandulkan. Jadi saya khuatir ia akan bergaduh dengan kucing dalam rumah saya dan membuntingkan beberapa ekor kucing betina yang masih belum dimandulkan.
Namun pada pagi hari Ahad, ketika hendak membelai si oren yang berada di dalam sangkar, saya telah digigitnya dengan begitu rakus hingga menyebabkan tangan saya cedera dan berasa amat sakit. Kemudian saya telah mendapatkan rawatan dan suntikan di sebuah klinik swasta. Memang tak sangka si oren pada mulanya nampak jinak tiba-tiba boleh bertindak ganas.
Tapi apa pun saya akan tetap memberi penjagaan dan perlindungan buat si oren. Saya bercadang hendak menamakannya “Panglima Garang” hahaha…Kejadian di serang si oren akan membuatkan saya lebih berhati-hati selepas ini. Saya juga telah membeli sarung tangan khas untuk mengendalikan haiwan sebagai langkah keselamatan. Saya akan pakai sarung tangan itu bila hendak mengendalikan si oren, membersihkan sangkar dan memberinya makan. Mudah-mudahan si oren dapat menyesuaikan dirinya dalam persekitaran baru.
Jemput tonton video yang saya rakam dan dikongsi di youtube channel saya :
Comments