Baru-baru ini saya berpeluang membantu
Sollu Shelter dalam operasi menyelamat seekor kucing jantan jalanan yang cedera
teruk dibahagian kaki belakangnya dan juga mempunyai penyakit FIV. Pada asalnya maklumat ini berkenaan kucing
ini dikongsikan oleh seorang group member di facebook group kucing. Kemudian
pihak Sollu Shelter telah hubungi saya melalui whatsapp untuk meminta bantuan
bagi mencari dan menyelamatkan kucing berkenaan.
Kebetulan pada hari berkenaan saya
agak kelapangan dan lokasi kucing ini dilaporkan berada di Serendah, Selangor
taklah begitu jauh dari lokasi saya di Batu 16 Rawang, Selangor. Saya pun
sangat teruja untuk menyelamatkan kucing berkenaan kerana ini merupakan
pengalaman kali kedua saya dalam membantu operasi menyelamat kucing yang
cedera. Tapi kali ini agak berbeza sedikit kerana kucing yang perlu diselamatkan
kelihatan cedera agak teruk dibahagian kaki kiri belakang kelihatan reput. Kemudian saya hubungi pengadu yang memuat
naik kisah kucing ini di group facebook. Setelah mengetahui lokasi sebenar saya
pun terus ke Serendah bagi mencari dan menyelamatkan kucing itu untuk
diserahkan kepada Sollu Shelter.
Apabila saya sampai di lokasi yang di
maklumkan, kucing berkenaan tak kelihatan. Saya hubungi semula pengadu untuk
bertanya di lokasi mana kucing itu selalu dilihat. Setelah beberapa kali saya
berlegar dengan motossikal di kawasan sekitarnya barulah saya ternampak kucing
itu berada di bawah kereta. Saya pun terus memanggilnya keluar dan apabila ia
keluar dari bawah kereta saya pun dengan selamba terus angkatnya untuk
dimasukkan ke dalam sangkar. Bila hendak masukkannya ke dalam sangkar,
tiba-tiba ia meronta dangan mengigit tangan kanan saya dan jari kelingking
sehingga berdarah. Memang rasa menyakitkan pada waktu dan buatkan saya berasa panik
seketika. Kucing itu lari semula masuk ke bawah kereta dan tak mahu keluar
kerana takut saya tangkapnya sekali lagi.
Sementara saya hendak mencari jalan
untuk mengumpan kucing tu keluar, pengadu pun sampai. Dia pun turut membantu
saya dengan mengumpan makanan supaya kucing itu keluar dari bawah kereta. Dia
berjaya pujuk kucing tu keluar dari bawah kereta. Kemudian dia mengangkat
kucing itu sambil saya menadah sangkar dari arah bawah supaya kucing itu mudah
dimasukkan ke dalam sangkar. Alhamdulillah ternyata strateginya berjaya dan
saya pun lupa seketika kesakitan tangan dan jari kelingking yang digigit oleh
kucing itu.
Selepas itu saya pun membawanya
pulang ke rumah sebelum menyerahkannya pada sebelah malam kepada pihak Sollu
Shelter untuk dirawat dan dijaga. Bau kucing itu memang kurang memmenyenangkan
dan terdapat ulat pada kakinya yang reput itu dan ia pun kelihatan kurus.
Dengan menunggang motorsikal dari Rawang ke Shah Alam untuk menghantarnya
kepada Sollu Shelter, saya terpaksa menahan baunya yang kurang menyenangkan.
Situasi seperti ini belum pernah lagi saya lalui sepanjang melakukan operasi
menyelamat kucing jalanan. Namun saya rasa gembira kerana turut terlibat dalam
operasi menyelamatkan kucing itu.
Alhamdulillah akhirnya pihak Sollu
Shelter telah dapat usahakan supaya kucing itu mendapat rawatan yang
sepatutnya. Selain kakinya yang reput itu terpaksa dipotong, kucing yang
diberikan nama “Foggy” oleh Sollu Shelter itu turut mempunyai penyakit FIV
(Feline Immunodeficiency Virus) yang boleh mengancam nyawanya.
Pengalaman saya yang turut membantu
dalam operasi menyelamat kucing itu memang tak dapat saya lupakan. Jari
kelingking saya yang digigitnya masih belum pulih sepenuhnya kerana masih ada
rasa seperti lenguh dan sakit bila dilipat. Puncanya mungkin sebab saya tak
mendapatkan rawatan dari doktor selepas digigit sebaliknya hanya sapu minyak
gamat sahaja. Inilah antara cabaran dan risiko yang perlu dihadapi oleh semua
sukarelawan penyelamat kucing jalanan.
Keadaan Foggy yang terkini. Dah berisi nampaknya |
Comments