Si pembuang kucing makin kreatif membuang kucing. Jika dahulu ramai yang membuang kucing di pasar dan kedai makan, kononnya beranggapan kucing-kucing yang dibuang di kawasan seperti ini akan mudah mendapat makanan. Ini adalah karut sebenarnya. Bukan mudah kucing-kucing yang dibuang hendak mendapatkan makanan. Kena zalim adalah.
Baru-baru ini seekor kucing betina bunting telah dibuang di hentian Rehat & Rawat sebuah lebuhraya. Hentian R&R ini memang saya singgah setiap hari dan pekerja pembersihan pun mengenali saya.
Kemudian saya membuat perkongsian di facebook peribadi saya berkenaan kucing bunting ini. Alhamdulillah ada sahabat facebook saya yang sudi nak menjaga kucing bunting berkenaan. Beliau berasa kesian melihat dan risau mengenangkan bagaimana keadaan kucing itu jika beranak di hentian R&R nanti.
Pada malam 24hb Mac 2022, saya pergi ke hentian R&R itu untuk membawa balik kucing bunting berkenaan. Saya akan menjaganya selama beberapa hari sebelum sahabat facebook saya datang mengambilnya pada hari Ahad nanti. Bukan mudah hendak menemukan kucing-kucing yang dibuang dengan penjaga atau tuan baru.
Harap tiadalah pihak yang mengambil kesempatan bertindak membuang kucing di mana-mana hentian R&R dengan apa jua alasan. Bukan mudah hendak menyelamatkan kucing-kucing yang dibuang oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Lebih baik dari awal lagi jangan pelihara kucing jika anda tidak boleh atau sanggup menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya.
Jangan ingat bila buang kucing di kawasan hentian R&R, kucing-kucing berkenaan akan selamat dan mudah mendapatkan makanan. Sebenarnya nanti pihak pengurusan lebuhraya akan bertindak menangkap kucing-kucing di kawasan mereka dan akan lepaskan di tempat lain. Mereka tidak akan biarkan kucing-kucing berkeliaran di kawasan lebuhraya.
Pernah ada kes beberapa ekor anak kucing yang terdapat di kawasan hentian sebelah lebuhraya bertol, ditangkap oleh pekerja syarikat pengurusan lebuhraya berkenaan dan kemudian dilepaskan di kawasan lot kedai yang tiada sumber makanan. Mujurlah anak-anak kucing itu berjaya diselamatkan.
Seperkara lagi, diharap pihak-pihak berkenaan tidak menuduh atau menyalahkan kami yang memberi makan kepada kucing-kucing yang dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, sebagai punca semakin banyak kucing dibuang dan juga membiak. Bukan niat kami apabila memberi makan kucing, kami hendak membiakkan kucing-kucing berkenaan. Kami tidak sanggup melihat kucing-kucing itu kelaparan. Lagi pun memberi makan kucing adalah suatu sedekah dan tidak menyalahi undang-undang.
Oleh yang demikian, tolonglah jangan buang kucing. Lebih baik dari awal lagi jangan pelihara kucing jika kesudahannya anda bertindak membuang mereka. Kucing-kucing yang dibuang itu akan berdepan dengan pelbagai risiko yang boleh mengancam keselematan dan nyawa mereka. Tambahan pula sudah ada peruntukkan undang-undang. Membuang kucing sebenarnya suatu kesalahan seperti yang termaktub dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015. Nanti kantoi ada orang rakam dan viralkan perbuatan anda sedang buang kucing, nahas anda nanti. Boleh kena denda dan penjara. Jangan main-main.
Dikesempatan ini saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada sahabat facebook saya yang telah sudi hendak mengambil tanggungjawab untuk menjaga kucing bunting itu. Berbanyak terima kasih kak!. Semoga akak beroleh ganjaran terbaik daripada Allah swt.
Comments