Penghujung tahun yang amat menyedihkan. Suatu kehilangan kekal, apabila kucing latah yang manja, pergi buat selamanya.
Pada 25hb Disember 2021, Cik Bu kucing jantan dalam jagaan saya, pergi secara mengejut. Memang 2-3 hari sebelum pemergiannya, Cik Bu kelihatan tidak sihat tapi ia masih bertenaga. Cuma sesekali Cik Bu akan mengerang seolah menahan kesakitan dan apabila saya hendak membelainya, ia seakan marah.
Secara tidak sengaja, saya sempat merakam gambar terakhir Cik Bu pada 23hb. Disember 2021. Tetapi ntah mengapa, tiba-tiba hati saya terdetik, mungkin ini gambar terakhir Cik Bu. Lepas ni Cik Bu mungkin sudah tiada. Mungkin naluri saya kuat terhadap Cik Bu kerana Cik Bu memang manja dengan saya.
Teringat ketika saya menyelamatkan Cik Bu pada bulan Mei menjelang beberapa hari lagi PRU 14 berlangsung. Ketika itu Cik Bu seakan memanggil saya untuk meminta pertolongan dari dalam semak. Waktu itu jam 2.30 pagi.
Sesuatu yang unik pada Cik Bu, ia akan melatah bila saya bersin, batuk, dan apabila ia terdengar bunyi barang jatuh. Cik Bu akan melatah. Cik Bu akan mengeluarkan bunyi nyit nyit nyit yang panjang selama beberapa saat, serta merta. Dengan memekkan wajahnya ketika melatah. Memang melucukan. Tabiat ini saya perhatikan sejak Cik Bu masih kecil lagi. Cuma saya tidak berpeluang merakam saat ia sedang melatah.
Permergian Cik Bu memang amat mengejutkan saya. Sepatutnya pada 25 Disember iaitu hari kematian Cik Bu, saya sepatutnya hendak membawanya ke klinik haiwan untuk pemeriksaan dan rawatannya.
Memang amat sedih terpaksa berdepan dengan situasi seperti ini. Hanya pencinta kucing sejati saja yang memahaminya. Saya tidak bersedia menerima pemergian Cik Bu buat selamanya. Tapi saya perlu menerima hakikat. Setiap yang bernyawa, pasti akan berakhir jua. Kenangan bersama Cik Bu, akan sentiasa dikenang dan tidak akan dilupakan.
Dikesempatan ini, saya
mengucapkan berbanyak terima kasih kepada sahabat-sahabat facebook saya yang
telah sudi menghulurkan pertolongan bagi membawa Cik Bu ke klinik untuk
rawatan. Semoga kalian yang sudi membantu, dikurniakan kesihatan yang baik,
dipanjangkan umur dan dicukupkan rezeki.
Comments